Rabu, 23 Februari 2011

Al Marhum Ustaz Wan Saghir Abdullah

12 April 2007
Belasungkawa

Berangkatnya kelmarin ke dunia lain, penyelidik dan penulis sejarah ulama dan tokoh dunia Melayu & Pengasas Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (PENGKAJI), Ustaz Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah pasti dirasai oleh kita semua kelak.

Takkan kita dapat memadamkan jasa ustaz dalam memahamkan kita banyak buah fikir Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani seorang ulama tersohor Nusantara yang pengaruhnya dalam penyebaran Islam merentasi batas geografi melintasi Mekah, Beirut, Mesir, dan Turki.

Ustaz Wan Saghir tabah memperkenalkan semula Syeikh Ahmad al-Fathani (antara tokoh awal Nusantara yang menolak kehadiran wahabi di rantau kita) yang telah mengasuh sekian ramai ulama di dunia Melayu seperti Tok Kenali, Tok Khurasan, Tok Selehor, Tok Bermin, Tok Kelaba, Haji Abdullah Fahim dan lain-lain. Kehebatan beliau kelihatan di saat berlakunya pertikaian khilafiah antara Syeikh Yusuf Nabhani dengan Syeikh Muhammad Abduh, Syeikh Ahmad al-Fathani telah dihantar ke Beirut untuk menyelesaikannya. Syeikh Ahmad al-Fathani juga adalah penasihat agama kepada kerajaan Turki Uthmaniyah.

Cintanya gemulah ustaz akan tokoh ulama Nusantara tersebut mendorong beliau mengajar Kitab Unwanul Falah Wa Unfuwanus Shalah dan Bahjatul Mubtadin Wa Farhatul Mujtadin karya Syeikh Ahmad al-Fathani di beberapa masjid di sekitar Lembah Kelang. Kitab ini memenuhi tiga asas ilmu jumhur ulama yang terpenting iaitu aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berimamkan Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi, dan berdasar fikah Mazhab Syafie dan tasawuf pula berpaksikan Syeikh Junaid al-Baghadadi, dan Imam al-Ghazali (yang kita semua tahu kurang disenangi oleh aliran keras tertentu).

Pengajian yang selalu dianjurkan oleh arwah ustaz adalah tertumpu kepada inti kitab dan tidak menyimpang dari tajuk sambil mengambil pendekatan tidak menyalah dan menuduh satu pihak yang lain dengan sewenang-wenangnya. Menurut ustaz setiap satu mesti berpijak kepada semua disiplin ilmu untuk mencari keadilan dalam ilmu. Tetapi seperti yang kita tahu, memang tak ramai ustaz mahu begitu. Mencari salah dan mengkafirkan jadi lebih mudah mutakhir ini.

Kini ustaz Wan telah pergi, entah siapa yang akan gigih mengganti ustaz untuk menghimpun karya-karya ulama Nusantara, dan ruangan agama akhbar perdana kita pasti sepi. Semoga Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Kewarisan mengambil kira tentang peranan dan sumbangan para ulama silam dalam penyebaran dakwah. Banyak hasil karya ulama dunia Melayu perlu diberi perhatian dalam menjaga dan mempertahankan kewarisan yang berkesinambungan.

Pada saya apa yang paling menyayat hati ialah kerja-kerja dakwah dan penyelidikan serta kajian arwah ustaz amatlah kontang dana dan sering berdepan dengan masalah kewangan. Usaha arwah kurang dibantu syarikat korporat Melayu atau pemerintah sekalipun. Padahal apa yang ustaz lakukan untuk membaja taman ilmu, sedangkan program untuk menyuburkan hedonisme bersungguh-sungguh dipupuk di mana-mana. Usaha ustaz ini amat penting supaya generasi mendatang mengenal tokoh ulama kita yang merupakan haruman untuk seluruh umat Islam.

Penulisan oleh Al-Ustaz Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah tentang Ulama Nusantara dalam ruangan agama pada setiap hari Isnin di akhbar Utusan Malaysia dan Ensiklopedia Nusantara di akhbar Berita Harian telah pun terhenti tetapi usaha arwah tidak harus tersekat, wajarlah Kementerian mengambil perhatian kerana warisan ilmu ulama Melayu inilah yang paling layak dikategorikan sebagai 'kebudayaan, kesenian dan kewarisan'. al-Fatihah.


* Gambar marhum ustaz yang paling kanan
** Jangan lupa menatap karya terakhir ustaz yang sempat dihantar ke Mega, Utusan Malaysia (ruangan agama), siaran 16 April tentang pengasas al-Ahmadiah di Singapura. Klik di sini.

---------------------------------------------
Thursday, April 12Perginya Seorang Tokoh Khamis, 24 Rabi`ul Awwal 1428 bersamaan 12 April 2007, kita kehilangan satu lagi tokoh ilmuwan lagi ahli tarikh ulama Nusantara dan karya-karya mereka. Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir bin Wan Abdullah rahimahUllah cukup besar jasanya dalam memperkenalkan para ulama kita di Nusantara dan karya-karya mereka. Boleh dikatakan umur beliau telah dihabiskannya untuk tujuan tersebut kerana kesedarannya terhadap khazanah yang terkandung dalam kitab-kitab karya ulama silam kita dan jasa-jasa mereka. Semua ini dibuatnya tanpa memikir ganjaran duniawi buat dirinya, semuanya dilakukan dengan ikhlas dan kerana cintanya kepada para ulama tersebut. Beliau mahu agar khazanah peninggalan ulama tersebut terus dihayati oleh generasi kini dan yang akan datang. Agar masyarakat mengenali kehebatan ulama terdahulu dan sumbangan mereka terhadap umat Nusantara dalam menyebar dan memartabatkan Islam di rantau ini.

Beliau telah mengembara ke berbagai tempat untuk mengkaji, mengumpul maklumat dan bahan. Usaha beliau dalam menggali dan mengumpul khazanah itu bukan mudah. Pada usia 12 tahun lagi, beliau sudah mengembara ke seluruh Asia Tenggara bagi menghimpun khazanah itu. Empat dekad mengembara, pelbagai ranjau dihadapi, kini penat jerih dan kesabarannya boleh dibanggakan. Beliau kini memiliki beratus-ratus manuskrip asli sama ada dalam tulisan Jawi atau Arab. Ada antaranya berusia lebih 500 tahun dan tidak boleh didapati di mana-mana perpustakaan, muzium atau arkib di rantau ini.

Dalam usahanya itu, beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 100 judul karya asli yang memaparkan biografi ulama, karya, pemikiran, sejarah perjuangan mereka termasuk membuat analisis terhadap mereka. Selain menulis buku, beliau juga aktif mengadakan seminar, membuat kertaskerja-kertaskerja dan menulis berbagai rencana dan artikel. Tulisan-tulisannya pernah mengisi majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Majalah Dakwah, Al-Islam dan Jurnal Dewan Bahasa. Dan sejak beberapa waktu dahulu, Utusan Malaysia setiap Isnin memuatkan tulisan beliau memperkenalkan para ulama kita terdahulu. Dengan ilmu dan bahan yang diperolehnya, Tuan Guru Haji Wan Mohd Shaghir boleh dianggap sebagai pakar rujuk manuskrip klasik Melayu dan ulama Nusantara. Apa tidaknya, beliau menjadi tumpuan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai alam Melayu. Bahkan, tidak kurang 500 pelajar dan pensyarah dari seluruh dunia yang mendapat khidmatnya untuk membuat thesis dan bahan pengajaran mereka.

Maka sewajarnya, jasa dan pengorbanan yang telah dilakukannya kita kenangkan dalam benak sanubari kita. Pemergiannya kembali ke hadrat Allah s.w.t. merupakan satu kehilangan kepada dunia Islam amnya dan dunia Melayu khasnya. Mudah-mudahan Allah membalasi beliau dengan sebaik-baik balasan dan menempatkan beliau bersama dengan para ulama yang beliau kasihi dan para sholihin. Juga semoga sepeninggalan beliau, tempatnya dijadikan ada penggantinya. Allahumma ....aamiin ...... al-Fatihah.


اقرأوا على موتاكم يس

Tiada ulasan:

Catat Ulasan