Rabu, 23 Februari 2011

Pak Cu Him Gajah Mati

Pak Cu Him Gajah Mati


PAK Cu Him, ulamak pondok yang terkenal di Kedah terutama di kalangan generasi ulamak tradisional dan dianggap ulamak paling kanan di Kedah, bahkan di Malaysia selepas Perang Dunia Kedua.

Nama sebenar beliau ialah Wan Ibrahim bin Wan Abdul Qadir bin Wan Mustafa al-Fathani. Selain merupakan adik bongsu kepada ulamak terbilang di Makkah, Pak Da Ail (Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir), beliau juga adalah sepupu kepada Sheikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, guru kepada Tok Kenali yang juga datuk kepada Allahyarham Ustaz Wan Mohd Saghir Abdullah, pengkaji sejarah ulama terkenal itu.

Pak Cu Him dilahirkan di Pondok Bendang Daya, Patani pada 1892. Ayahnya ialah mudir pondok ini yang lebih terkenal dengan nama Tok Bendang Daya. Pak Cu Him mendapat pendidikan agama di Pondok Chegar, Patani kerana ayahnya meninggal ketika beliau berusia tiga tahun. Beliau kemudian belajar di Pondok Bermin dan Pondok Tok Raja Jambu.

Pada 1912, beliau bertolak ke Makkah dan berguru dengan bapa saudaranya, Tok Guru Pak Chik Wan Daud atau Sheikh Wan Daud bin Wan Mustafa. Pak Cu Him menguasai bahasa Arab dengan fasih, termasuk sastera dan syair Arab sehingga berjaya menghasilkan kitab Qawaid Fiqhiyah dalam bentuk syair. Ketika di Makkah, beliau belajar dengan beberapa guru yang masyhur seperti Syeikh Yahaya Patani, Tok Ramli, Syeikh Muhammad ‘Ali Maliki dan Syeikh Muhammad Mukhtar al-Jawi. Beliau berada di Makkah sehingga usia 35 tahun dan berhijrah ke Kedah pada 1924.

Ketika di Kedah, beliau berkahwin dengan Hajah Zainab, anak kepada Tuan Guru Haji Che Dol atau Haji Ismail Che Dol bin Mustafa al-Fathani iaitu adik kepada Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, pengasas PAS yang juga guru Pondok Guar Chempedak. Perkahwinan ini berlangsung dalam tahun yang sama dengan tahun kembali dari Makkah. Pasangan ini dikurniakan 11 orang anak termasuk Tuan Guru Haji Wan Abdul Qadir dan Tuan Guru Haji Wan Mustafa yang mewarisi Pondok Gajah Mati. Ini bermakna Pak Cu Him telah berhijrah daripada keluarga ulama Bendang Daya menyertai keluarga ulamak Gajah Mati yang dipimpin mentuanya ketika itu.

Ketika zaman beliau, pondok ini mempunyai lebih 600 pelajar dari seluruh Nusantara, walaupun di sekitar kawasannya ada beberapa pondok seperti Pondok Chegar dan Pondok Haji Ibrahim.

Sebelum mengambil alih Pondok Gajah Mati dari mentuanya, Pak Cu Him sebenarnya telah diterima menyertai ulama Bendang Daya menjadi guru di Masjidil Haram beberapa tahun. Selepas dua tahun di Kedah, beliau diberikan tauliah oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq pada 14 November 1931 untuk membolehkan beliau mengajar di pondok ini.

Selain mengajar, Pak Cu Him juga terlibat aktif dalam aktiviti masyarakat termasuk mengadakan persetiaan dengan beberapa ulama di Mukim Padang Pusing, Kedah untuk mewujudkan perpaduan masyarakat menerusi ‘Jamiatul Ittihadiyah’ atau ‘Perhimpunan yang Bersatu’ pada 1926.

Sebagai seorang ulama besar juga, Pak Cu Him telah menghasilkan beberapa karya antaranya Fathul Jalil wa Syifaul Ghalil yang disiapkan pada 1386 Hijriah. Beliau mempunyai kebolehan mengarang yang baik, tetapi bahasanya terlalu tinggi dan bersastera sehingga orang awam sukar memahaminya.

Pada 1955, Pak Cu Him telah bertolak ke Makkah dan tinggal di sana selama setahun. Di sanalah beliau berhubungan semula dengan muridnya, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, ulama Mandailing yang mengasaskan PAS Cawangan Makkah pada 1952. Tokoh ini juga telah menulis sebuah buku berjudul �Islam: Agama dan Kedaulatan� pada 1954 yang membincangkan tentang konsep hakimiyah Islam di mana beliau menolak perjuangan Umno yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam.

Pak Cu Him mula terlibat secara langsung dengan PAS semenjak 1951 lagi di mana iparnya, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol telah terlibat dalam mengasaskan PAS pada tahun tersebut dan dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS Kawasan Utara. Ekoran kemasukan Pak Cu Him dalam PAS, maka ramai pelajar Melayu di Pondok Gajah Mati menjadi ahli PAS dan ia merupakan pusat gerakan PAS yang awal di kawasan Pendang.

Tetapi tempoh antara 1954 hingga 1955 akan sepi dari pengaruh PAS kerana Tuan Guru Haji Hussein Che Dol yang ketika itu menjadi Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap ADUN Jerai memilih kekal bersama Umno dalam krisis kepemimpinan PAS. Tetapi pada 1955, Tuan Guru Haji Hussein kembali bersama PAS.

Ketika berada di Makkah pada 1955, buku tulisan muridnya, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili telah menjadi heboh di Tanah Melayu kerana mempunyai pandangan yang amat keras terhadap sikap Umno yang tidak mahu melaksanakan hukum Islam dan bekerjasama dengan orang bukan Islam.

Dalam perdebatan tentang hukum-hukum yang dibangkitkan oleh Sheikh Abdul Qadir ini, seorang ulama Umno, Sheikh Abdul Rahman Merbuk telah mendakwa beliau mengeluarkan fatwa berdasarkan pandangan Pak Da Ail. Pak Cu Him yang mempertahankan fatwa muridnya berhujah bahawa beliau telah merujuk sendiri kepada abangnya, Pak Da Ail tentang isu tersebut dan ulama Makkah itu juga sependapat dengan beliau.

Pada 1962, Pak Cu Him telah menerbitkan semula buku �Islam: Agama dan Kedaulatan� dengan memasukkan juga polemik beliau dengan Haji Abdul Rahman Merbuk. Oleh kerana ketika itu tercetus isu kafir mengkafir di Kelantan di mana ulama Kelantan juga sependapat dengan Pak Cu Him, maka buku ini kemudian diharamkan oleh kerajaan Perikatan pada 1963.

Setelah lama berjuang dalam membangunkan pendidikan Islam, Pak Cu Him yang tidak terlibat secara langsung dalam organisasi PAS kecuali sebagai ahli Dewan Ulama PAS serta aktif di Kawasan Pendang sahaja, tetapi mempertahankan dasar-dasar parti Islam tersebut telah jatuh sakit pada penghujung 1960-an. Beliau telah melalui tiga kali pembedahan kerana kanser di leher. Beliau kemudian uzur dan tidak dapat lagi aktif menyampaikan ilmu agama. Beberapa bulan kemudian beliau meninggal dunia di pondoknya pada 11 Syawal 1388 bersamaan 11 Januari 1968 dalam usia 75 tahun. Beliau dikebumikan berhampiran kubur Tok Ayah Che Dol, mertuanya. Cucu sepupunya, Ustaz Wan Mohd Saghir juga dikebumikan di perkuburan ini bersebelahan kubur Pak Cu Him. - tajdid _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan