Ahad, 9 Mei 2010

Ilmiah Sumber

shahadatain
---------------
--------------

Sebelum kita mengajak manusia kembali kepada shahadatain, kita perlu mengetahui terlebih dahulu

a) Fardhu, Kesempurnaan, Rukun, Sah, Batal
b) Iman, Islam dan Ihsan

Dan selepas kita benar-benar berjaya memahaminya sekadar kemampuan terbaik (lepas ditalkinkan) - barulah kita boleh memulakan gerakan untuk menyebarkan Shahadatain. Ini adalah langkah sulong - banyak lagi langkah lain yang perlu diikuti.

InsyaAllah Pok Nik yang dhaif ini akan cuba menyambung topik ini.
--------------------------------------------
Di zaman ini, bukanlah satu perkara yang mudah untuk menceritakan mengenai Rukun Pertama ini kerana terlalu ramai manusia yang beranggapan, jika dia lahir dalam Islam maka Islamlah dia. Walhal telah ramai orang yang tahu bahawa Islam ini bukanlah bersifat dari 'baka' dan 'keturunan'

Islam bukan diwariskan kepada anak tetapi Islam diwariskan kepada umat.

Islam bukanlah seperti naiknya putera raja-raja menggantikan ayahandanya.

Anakanda kepada Sultan Aulia Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani pun pernah gagal dalam menyampaikan syarah di mimbar apabila dia beranggapan bahawa dia adalah anak seorang wali Allah yang besar dan sudah pasti dia akan dapat menyampaikan syarah sebaik ayahandanya.

Kerja Dakwah
-------------
-------------

Untuk menjalankan kerja-kerja dakwah, adalah sebaiknya kita mempelajari Islam secara mendalam. Namun, tidak mungkin kita akan dapat mempelajari kesemua bab - jadi kita buat apa yang termampu dan sekiranya terdapat mereka yang lebih berilmu - mintalah panduan dari mereka. (Pok Nik sendiri pun masih lemah dalam bab feqah, munakahat, jinayat dll - masih bertanyakan mereka yang lebih arif) Namun perlu diingatkan bahawa kita disarankan juga oleh Imam Ghazali Rahimahullah agar mempelajari apa yang kita praktikkan atau bakal dipraktikkan - contohnya, kita digalakkan belajar mengenai Rukun Haji apabila tiba masanya/hampir ketikanya untuk kita menunaikan Fardhu Haji. Bukan tak boleh atau salah untuk belajar sekarang - cuma dikhuatiri kita akan lupa kerana tidak ada tindakan susulan selepas itu.

Kenapa perlu mempelajari secara mendalam/sebaik mungkin? - bukannya apa - kalau setakat berdakwah kepada sesama Muslim di Malaysia, itu tidaklah menjadi masalah yang besar, tetapi bagaimana pula kalau kita berdakwah dengan bukan Islam (atau Muslim) yang mungkin tidak tahu berbahasa Malaysia? Kerana itulah, kita disarankan oleh Rasulullah S.A.W. mempelajari banyak bahasa. Di samping itu, kita perlu mengenal dan menghormati budaya, adat resam orang lain dll selagi tidak bertentangan dengan syariat. (Ibaratnya kita berjalan sambil tunduk di hadapan orang yang lebih tua yang sedang duduk - ini adalah budaya orang Melayu yang tidak ada dalam Sunnah, namun kerana niat kita untuk menghormati orang tua, maka kita diberikan pahala)

Mengenai bencana yang akan menimpa - tidaklah ada dalam pengetahuan saya. Cuma yang saya tahu dalam 2 keadaan :

a) berdakwah atau menyebarkan ilmu tanpa mengetahui kebenaran ilmu yang disampaikan (termasuk ajaran sesat)

atau

b) jika kita enggan berdakwah atau menyebarkan ilmu apabila keadaan memerlukan (tidak ada lagi orang yang lebih baik) maka ini merupakan satu dosa yang besar cuma.

Perkara bencana atau rahmat atau cubaan atau dugaan ini sukar untuk kita ramalkan kerana ini adalah dalam rahsiaNya.

Untuk berbicara masalah zindiq, kita perlu juga tahu mengenai pengertian kufur, fasiq, mulhid dan munafiq.

Tetapi untuk kali ini, izinkan saya memberikan definisi mengenai apa itu zindiq.

Zindiq yakni orang-orang yang berpura-pura masuk Islam untuk menghancurkan Islam dari dalam.

Dalam sebuah riwayat, Imam Asy-Syafi'i pernah berkata "Tidak aku tinggalkan kota Baghdad melainkan di sini banyak orang-orang zindiq."

Seseorang Muslim juga kadangkala tanpa disedari boleh terperangkap dalam unsur zindiq. Umpamanya, mempelajari atau berkata-kata mengenai ilmu agama tanpa mengamalkannya atau mengambil (sebahagian) apa yang digemari sahaja dalam ajaran agama tetapi menolak (sebahagian) apa yang tidak disukainya.

Imam Malik رضي الله عنه berkata:

مَنْ تصوف ولم يتفقه فقد تزندق، ومن تفقه ولم يتصوف فقد تفسق، ومن جمع بينهما فقد تحقق

Barangsiapa bertasawuf (berhakikat) dan tiada feqah maka dia zindiq, dan barangsiapa yang berfeqah tiada bertasawuf maka dia fasiq, dan barangsiapa yang menghimpun keduanya maka dia tahqiq. (Kitab sharh ‘ain al-ilm wa zain al-Hilm; Mulla Ali Qari)

Sultanul Auliya’ Shaikh Abdul Qadir al-Jilani رضي الله عنه berkata (Dalam Fathur Rabbani):

كل حقيقة لا تشهد لها الشريعة فهي زندقة. طِرْ إِلى الحق عز وجل بجناحي الكتاب والسنة، ادخل عليه ويدك في يد الرسول صلى الله عليه وسلم

Setiap haqiqat yang tidak disaksikan baginya dengan syariat, maka ia adalah zindiq. Terbanglah kepada al-Haq عز وجل dengan sayap al-Kitab dan as-Sunnah. Masuklah kepadaNya sedangkan tanganmu dalam gengaman tangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم .

ترك العبادات المفروضة زندقة. وارتكاب المحظورات معصية، لا تسقط الفرائض عن أحد في حال من الأحوال-الفتح الرباني للشيخ عبد القادر الجيلاني

Meninggalkan ibadat yang fardhu adalah zindiq. Melakukan perkara yang terlarang adalah maksiat. Tidak gugur akan kefardhuan daripada seseorang ketika ia berada di dalam satu hal di antara ahwalnya.

Contohnya :

Dalam hal solat -

Fiqihnya : Berdiri, rukuk, sujud dalam setiap bacaan dan perbuatan dalam shalat
Tauhidnya : Yakin dengan Allah Yang Maha Melihat (ini juga berkaitan dengan Ihsan)
Tasawufnya : Khusyuk, faham setiap bacaan dan rasa tadharuk dengan Allah.

Wallahu'alam


Darjat Iman Tidak Kira Siapa
----------------------------
----------------------------

Iman tidak mengenal tua dan muda - tidak kira samada kamu ahli baru ataupun lama" Ini bermakna, Iman adalah anugerah Allah SWT dan wajib kita pohon. Inilah juga doa yang paling utama Rasulullah SAW. Dan jika Allah SWT ingin memilih seseorang untuk dianugerahi imannya, Dia tidak terikat kepada ilmu, amal, wirid atau doa kita samada banyak atau sedikit. Dia Allah! dan Dia Maha Berkuasa untuk memilih sesiapa sahaja yang disukaiNya. Ini kerana sejarah telah menentukan bahawa orang-orang yang terpilih bukanlah semestinya mereka yang baik akhlaknya (pada peringkat awal) atau mereka yang kaya atau pun miskin. Malah mereka yang beragama lain pun, Allah SWT boleh mengubah hati mereka ke arah Islam dan mungkin menjadi seorang Ahlillah. Jadi, tempoh atau 'seniority' dalam Abjad bukanlah kayu pengukur ilmu atau darjat seseorang.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
--------------------------------------------------------
--------------------------------------------------------

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ [96.1] Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan,

خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ [96.2] Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ [96.3] Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah,

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ [96.4] Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam.

عَلَّمَ الإنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ [96.5] Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

كَلا إِنَّ الإنْسَانَ لَيَطْغَى [96.6] Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

أَنْ رَآهُ اسْتَغْنَى [96.7] karena dia melihat dirinya serba cukup.

إِنَّ إِلَى رَبِّكَ الرُّجْعَى [96.8] Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmulah kembali (mu).

أَرَأَيْتَ الَّذِي يَنْهَى [96.9] Bagaimana pendapatmu tentang orang yang melarang,

عَبْدًا إِذَا صَلَّى [96.10] seorang hamba ketika dia mengerjakan salat,

أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ عَلَى الْهُدَى [96.11] bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu berada di atas kebenaran,

أَوْ أَمَرَ بِالتَّقْوَى [96.12] atau dia menyuruh bertakwa (kepada Allah)?

أَرَأَيْتَ إِنْ كَذَّبَ وَتَوَلَّى [96.13] Bagaimana pendapatmu jika orang yang melarang itu mendustakan dan berpaling?

أَلَمْ يَعْلَمْ بِأَنَّ اللَّهَ يَرَى [96.14] Tidakkah dia mengetahui bahwa sesungguhnya Allah melihat segala perbuatannya?

كَلا لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ لَنَسْفَعًا بِالنَّاصِيَةِ [96.15] Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian) niscaya Kami tarik ubun-ubunnya,

نَاصِيَةٍ كَاذِبَةٍ خَاطِئَةٍ [96.16] (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.

فَلْيَدْعُ نَادِيَهُ [96.17] Maka biarlah dia memanggil golongannya (untuk menolongnya),

سَنَدْعُ الزَّبَانِيَةَ [96.18] kelak Kami akan memanggil malaikat Zabaniyah,

كَلا لا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ [96.19] sekali-kali jangan, janganlah kamu patuh kepadanya; dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Tuhan)

Kita semua telah maklum betapa teruknya bencana dan dugaan yang menimpa di sekeliling kita sehingga manusia kini sudah menyerah kalah kepada kehidupan dan godaan di sekitarnya. Kekalahan dan godaan ini pula menyebabkan lebih ramai orang berada dalam kepapaan, penderitaan, kesakitan, perceraian dan lain-lain.

Senario ini memberikan pula peluang kepada kejahatan berleluasa sehingga pelbagai jenayah dan maksiat berlaku umpamanya rogol, perzinaan, sumbang mahram, minum arak, makan riba, tikam no. ekor/loteri, membunuh manusia, mencuri, merompak dan lain-lain. Semuanya kini begitu senang dilakukan di mana sesetengahnya berharap sempatlah bertaubat sebelum mati atau bagi yang jahil memegang prinsip 'kubur sendri, sendiri jaga' .

Perbuatan menghina ulama, orang miskin, ibu tunggal, OKU dll atau mencerca/menghina orang yang tidak berdosa telah menjadi satu trend terkini manusia yang mengaku dirinya maju dan berpendidikan. Penghalalan perkara yang haram kini sudah menjadi permainan manusia. Apatah lagi pengharaman perkara yang halal menerusi fahaman-fahaman yang menyeleweng.

Selain itu, mengumpat, berbalahan, bertengkar, bergaduh, bertumbuk, mendatangkan kecederaan, mengugut, buli yang lemah, memfitnah, dengki mendengki, penderaan, kecurangan, dendam dll semakin kuat berlaku tidak mengira sahabat, saudara, jiran tetangga, ahli keluarga, suami/isteri, anak-anak dan lain-lain.

Manusia kini beriman pada satu waktu kepadaNya dan melupakanNya pula pada satu waktu yang lain.

Ada pula beriman semasa kesusahan melanda apabila diduga Allah SWT disebabkan kealpaan semasa kaya. Namun, berkat niat dan nazar untuk membantu sesiapa yang dalam kesusahan, Allah SWT menganugerahi dengan rezeki yang melimpah-ruah - akhirnya niat dan nazar entah ke mana, kemiskinan melanda kembali dan hiduplah golongan manusia ini miskin ilmu dan miskin harta.

Syahadah hanya ucapan bibir - Solat pun kelam kabut - bayar zakat fitrah dengan wang haram, puasa atau tak puasa sama sahaja, kalau nak tunai haji biarlah kaya dahulu.

Segolongan lagi apabila berdoa mengharap agar doa itu yang memberikan bekas dan 'memaksa-maksa' Allah SWT membantuNya, apabila nampak seperti tidak makbul (walaupun baru seminit berdoa) terus menjadi tidak sabar, cepat putus asa, habis orang dimarahinya dan akhirnya dengan sengaja menerjunkan diri mereka dalam kebinasaan.

Ada segolongan pula terus mencari dukun-dukun yang handal untuk mendapatkan wang, pangkat, harta dengan cara yang tidak betul atau lebih teruk lagi menggunakan khidmat ilmu sihir untuk mendapatkan apa yang diingininya.

Apabila berlaku penderitaan pada diri sendiri yang sememangnya zalim, terpancullah kata-kata biadap berikut :

"Ya Allah, kenapalah kau buat aku miskin, aku susah, aku sakit atau hidup kat dunia ini dengan penuh penderitaan?"

Kalau ada nampaknya seperti berbuat kebajikan - ianya dilakukan dengan takbur, riak dan perasaan ingin menunjuk-nunjuk. Ada yang boleh menghukum pula orang lain pemalas kerana tidak menjadi penderma sepertinya. Tidak kurang juga yang boleh menghukum dirinya sendiri telah mendapat tiket ke syurga kerana berbuat kebajikan dengan riak dan takbur. Terlalu ramai pula yang kononnya berbuat kebajikan, tetapi ada niat lain yang tersembunyi.

Al-Qur'an, Hadis, Ijmak dan Kias permainan lidah (kau salah, aku yang betul) malah ada yang menjadikan kalamullah sebagai bahan jualan dan perniagaan hanya berniat untuk menipu dan mendapatkan wang yang sedikit - tergamak pula untuk memberikan anak isteri makan dengan wang berkenaan.

Ilmu pengetahuan tidak mahu dituntut mungkin kerana dirinya cukup. Berhujjah tidak mahu mengalah - mengherdik orang-orang yang sabar tidak mahu menjawab.

Kemunafikan dan kefasikan termasuk menjatuhkan diri dalam penipuan juga menjadi-jadi terutamanya dalam memungkiri janji perniagaan, janji sedekah, janji nak menghadiahkan sejumlah wang pada orang yang mengharap, janji membantu orang lain dll.

Kesihan kepada mangsa penipuan. Duit simpanan habis begitu sahaja, makan minum tidak terjaga, perut kelaparan, anak isteri marah kepada suami/bapa kerana berjanji nak adakan perbelanjaan dan banyak lagi. Semuanya berlaku atas dasar kepercayaan kepada janji manis.

Kesyirikan dan unsur kekafiran kini menjadi buruan manusia!

Manusia kini lebih pentingkan diri sendiri dan menganggap manusia lain yang tidak sepertinya adalah 'manusia yang bodoh'.

"Biar aku senang, buat apa nak bagi orang lain senang?"

Jangankan manusia, binatang/haiwan, pokok rimbun yang tidak berdosa pun dibunuh tanpa rasa prihatin. Alam sekitar dirosakkan dan dimusnahkan. Nafsu syahwat serakah haiwan dipenuhi dan diberikan layanan yang sangat tinggi...iman terus dimusnahkan walaupun dalam keadaan sedar dan waras. Lepas itu pandai pula menyalahkan orang lain - malah Allah SWT pun berani dipersalahkan...alangkah bagusnya manusia sekarang ini.

Tidak payahlah saya berbicara secara lanjut. Cuma saya menyeru pada mereka dan diri saya sendiri yang masih ada sifat-sifat di atas, marilah kembali ke pangkal jalan - masa belum terlewat untuk anda mengubah hidup anda - untuk anda bertaubat - untuk anda mensyukuri nikmatnya tidak kira kecil ataupun besar. Jika kekurangan ilmu, belajarlah. Jika tak kenal guru yang betul, mohonlah kepada Allah petunjuk. Wujudkanlah kasih sayang sesama manusia - belas kesihanlah sesama manusia - wujudkanlah kesabaran dalam diri kita - kuatkanlah usaha kita, yang sudah tu sudahlah - belajarlah dari kesilapan - mari memohon kebajikan dan menolak kejahatan.

Firman Allah SWT :

"Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu dan telah aku sempurnakan nikmatku atasmu dan Aku telah rela Islam sebagai agama bagimu."

Wassalamu'alaikum wbr.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan