Sabtu, 11 Disember 2010

Kitar Semula

KITAR SEMULA


APA ITU KITAR SEMULA?
Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.

BAGAIMANA UNTUK MELAKSANAKAN KITAR SEMULA?

Pemungutan Sampah
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mengasingkan sampah-sampah yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh dikitar semula. Pemungut sampah akan tahu apa yang akan dilakukan seterusnya.

Pusat Pengumpulan / Pusat kitar semula
Cara paling mudah untuk melaksanakan kitar semula ini adalah dengan hanya menghantar barangan yang dikumpulkan untuk kitar semula ke pusat kitar semula yang terdapat di seluruh negara. Proses yang lain akan dijalankan oleh pihak-pihak tertentu.


KENAPA KITAR SEMULA?

SETIAP HARI KITA MENGHASILKAN 15,000 TAN SAMPAH, TETAPI KITA SEMAKIN KESEMPITAN RUANG UNTUK MENAMPUNGNYA.

Kita biasanya tidak memikirkan di manakah sampah sarap kita dibuang atau apakah yang terjadi kepadanya sebaik sahaja ia dipungut. Hakikatnya lori sampah tidak dapat menghapuskannya begitu sahaja. Ia biasanya akan diangkut ke tapak pelupusan sampah. Kapasiti tapak pelupusan sampah kita semakin terhad. Di masa yang sama kita terpaksa menghabiskan jutaan ringgit untuk mengangkut dan melupuskan sampah. Lebih membimbangkan lagi, kini timbul rungutan tentang pencemaran, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan isu isu keselamatan yang berkaitan. Sudah tiba masanya kita menangani masalah ini sebelum terlewat. Fikir dulu sebelum buang. Jadikan amalan mengitar semula sebagai sebahagian hidup kita.

Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita. Pada masa ini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah ynag dibuang. Sebaik sahaja sebuah tapak pelupusan sampah dipenuhi sampah, tapak baru akan dibuka. Lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.


Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih
Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.

Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran
Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

Kitar semula untuk menjimatkan kos
Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya akan memanfaatkan anda kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.

Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita
Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan? Kita juga mengimport bahan baungan lain untuk industri pengeluaran yang lain.

Kitar semula untuk menjimatkan tenaga
Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang TV selama 3 jam. Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

Kitar semula untuk menyelamatkan hutan
Untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara bersih.


APA YANG BOLEH DI KITAR SEMULA
Terdapat 4 jenis item yang disarankan kepada orang ramai untuk dikitar semula. Item-item tersebut adalah plastik, kertas, aluminium dan kaca.


KACA
Semua jenis kaca termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik.

Bagaimana kaca di kitar semula?
• Kaca akan diasingkan mengikut warna. Apabila kaca dicairkan, warna asalnya masih kekal bermakna kaca hijau akan kekal menjadi kaca hijau, kaca coklat akan kekal dengan kaca coklat, dan kaca yang jernih akan kekal menjadi kaca jernih

• Setelah kaca-kaca diasingkan mengikut warna dan dibersihkan, ia akan dihancurkan dan ditambah dengan sedikit bahan mentah yang lain untuk dijadikan kaca yang baru. Campuran tersebut akan dipanaskan sehingga cair dan akan membentuk sejenis cecair. Kaca yang masih panas akan dibentuk untuk dijadikan botol.

• Hasil yang terbentuk akan disejukkan dan diperiksa dari sebarang keretakan/kecacatan. Proses terakhir ialah kaca-kaca yang sudah siap akan dihantar ke syarikat-syarikat atau kilang-kilang di mana kaca ini akan diisi dengan makanan dan minuman.

Kelebihan gelas
Boleh dikitar semula 100% - boleh dikitar semula misalnya. Botol jem boleh dikitar semula hari ini menjadi botol jus pada bulan hadapan, kemudian menjadi botol susu hingga seterusnya.


ALUMINIUM
Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar semula.

• Aluminium terpakai yang telah dikumpul, diasingkan lalu direnyukkan untuk diangkut ke pusat kitar semula.

• Aluminium terpakai kemudian dilebur untuk menyingkirkan bendasing.

• Tin-tin aluminium terpakai kemudiannya digunakan untuk menghasilkan tin-tin yang baru. Kitaran semula aluminium menjimatkan banyak tenaga berbanding memproses kitar semula barangan lain seperti kertas.



KERTAS
Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar semula.

• Surat khabar lama dan majalah-majalah usang yang telah dikumpul dari seluruh negara akan dibawa ke kilang memproses kertas terpakai.

• Kertas-kertas yang dikumpulkan tadi dihantar ke tempat pemprosesan di mana pada mulanya proses mencampurkan air dengan bahan kimia akan dilaksanakan untuk membantu dalam proses penghancuran sebelum dibersihkan daripada kotoran yang nyata. Kertas yang dihancurkan tadi dinyahkan dakwat yang terkandung di dalamnya, sebelum menjalani proses pembersihan selanjutnya, proses penapisan dan pencerahan.

• Kemudian, hasil yang diperolehi daripada proses di atas dicampurkan dengan air lalu dipamkan ke bahagian hujung basah mesin membuat kertas. Kertas kemudiannya diratakan oleh mesin pelembut kertas sebelum digulung menjadi satu gulungan kertas yang besar.

• Gulungan kertas tadi kemudiannya dipotong mengikut pelbagai saiz, bergantung kepada kehendak pelanggan



PLASTIK
Beg-beg membeli belah plastik, beg plastik dari supermarkat, botol minuman plastik, botol air mineral dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik boleh diproses untuk dikitar semula.

Bagaimana plastik di kitar semula?
• Plastik-plastik yang boleh dikitarsemula, ini seterusnya diasingkan mengikut kategori.

• Kitar semula plastik ini adalah satu perkara yang paling mudah dan ringkas. Plastik akan dipisah-pisahkan sehingga menjadi serpihan halus yang bersaiz lebih kurang 1 sentimeter. Kemudian ia dicuci untuk membuang segala kotoran. Serpihan yang telah dibersihan itu tadi akan dikeringkan melalui saluran udara panas.

• Serpihan-serpihan plastik kemudiannya dibungkus untuk dijual (dalam bentuk serpihan) ataupun akan dijadikan bahan-bahan baru.

Pelbagai bentuk Plastik
Terdapat berbagai jenis plastik boleh didapati. Ia mesti diasingkan sebelum dikitar semula kerana setiap plastik cair pada suhu yang berbeza. Industri plastik sendiri telah mewujudkan kod identifikasi bagi melabel pelbagai jenis plastik yang berbeza. Antara jenis-jenis plastik ialah

• Type 1 - Polyethylene Terephthalate (PET)
Kegunaan : Botol minuman ringan dan mineral. Jenis yang paling banyak dkitar semula. Kebanyakan pusat kitar semula memerlukan anda mengasingkan penutupnya dan meleperkan botol tersebut.

• Type 2 - High Density Polyethylene (HDPE)
Kegunaan : Botol detergen dan minyak masak, beg runcit serta mainan plastik

• Type 3 - Vinyl/Polyvinyl Chloride
Kegunaan : Paip plastik, perabut luaran. Pusat kitar semula jarang mengambil bahan ini untuk dikitar semula

• Type 4 - Low Density Polyethylene (LDPE)
Kegunaan : Beg plastik, pelapik tin, bekas pengisi makanan. Jarang di gunakan

• Type 5 - Polypropylene (PP)
Kegunaan : Penutup plastik, penyedut air minuman, pembalut makanan, permaidani. Jarang dikitar semula. Biasa nya di tanam di tapak pelupusan.

• Type 6 - Polystyrene (PS)
Kegunaan : Palet pembungkus, cawan polystyrene. Kebanyakan stor perkapalan/pembungkusan akan menerima bahan ini untuk digunakan semula.

• Type 7 - Lain-lain
Kegunaan : Sesetengah jenis pengisi makanan dan tupperware.


Terdapat berbagai cara untuk kita mengurangkan kadar pengeluaran bahan-bahan plastik yang tidak diperlukan. Di sini disertakan beberapa contoh:

• Elak/Kurangkan
Apabila anda membeli barang keperluan, bawalah beg anda sendiri. Jika perlu, pilihlah beg kertas bagi menggantikan beg plastik.

• Guna Semula
Jangan buang beg plastik yang terdapat di rumah anda. Simpan beg ini kerana ia boleh di guna semula.

• Kitar Semula
Jangan buang bahan-bahan plastik kerana ada sesetengah bahan plastik yang boleh dikitar semula. Bahan-bahan permainan daripada plastik yang tidajk boleh digunakan lagi boleh didermakan kepada rumah-rumah kebajikan. Ini adalah sebahagian dari cetusan idea bagaimana kita boleh menguruskan bahan-bahan plastik. Jika anda mempunyai cadangan/idea berkaitan isu ini, kami mengalukan-alukannya dari anda.


APA YANG TIDAK BOLEH DIKITAR SEMULA

Kertas
• Kotak pizza atau apa-apa yang disaluti dengan minyak/bekas makanan

• Pinggan kertas

• Tisu muka

• Kertas carbon

• Lampin

• Buku berkulit tebal

• Kotak susu

• Kertas disaluti lilin/plastik

• Bekas makanan beku

• Tuala kertas


Aluminium
• Tin aerosol

• Tin cat

• Penggantung baju

• Bahan perubatan

• Penapis minyak


Kaca
• Gelas minum

• Kaca tingkap

• Cermin Mentol

• Kaca tingkap yang pecah dan cermin kereta.

• Kaca tahan suhu tinggi - Pyrex, Corning Ware, Vision Ware

• Botol legap putih

• Kaca yang digunakan di makmal atau hospital untuk kajian dan perubatan.

• Cermin tingkap, Mentol, Cermin muka, pinggan mangkuk yang pecah, kaca untuk ketuhar, gelas minuman, kaca kristal, seramik dan tiub lampu berwarna.


Plastik
• Bahan plastik yang bukannya botol seperti bekas yogurt dan bekas marjarin

• Bekas makanan yang dibuat dari plastik

• Botol plastik yang ada sisa minyak, racun serangga atau bahan-bahan beracun


Styrofoam


Lain-lain
• Bahan letupan

• Asbestos

• Lampu kalimantang

• Bateri

• Bahan perubatan

• Bahan-bahan radioaktif

Tiada ulasan:

Catat Ulasan